Sunday, July 31, 2011

RAMADHAN AL-MUBARAK 1432 H

Bulan Puasa kembali lagi, semoga umat Islam sudah bersedia untuk menyambutnya dengan persiapan yang rapi dari segi ilmu, fizikal dan mental. Ada yang menyambutnya penuh kesyukuran kerana berpeluang sekali lagi bertemu bulan yang penuh rahmat dan berkat, tapi ada juga yang kurang seronok kerana tak boleh makan-makan dan tak boleh cakap-cakap kosong dan sebagainya dan ada pula yang ambil kesempatan untuk relax, tak boleh belajar, tak boleh kerja kuat kerana perut lapar. Walaubagaimanapun, sebagai muslim dan muslimah yang sejati, rebutlah peluang ini dengan pebanyakan ibadat. Belajar dan bekerja juga ibadat, menolong orang yang memerlukan bantuan juga ibadat dan banyak lagi. Kepada anak-anak didik SMTM disamping berpuasa, dinasihatkan supaya teruskan belajar secara yang teratur, jangan nakal-nakal, dengar nasihat ibu-bapa dan guru dan bersolat secara terbaik dan berdoalah agar dipermudahkan segala urusan terutamanya urusan pelajaran. Warga Kerja SMTM dinasihatkan agar terus berkerja dengan penuh dedikasi, mengikut etika dan tatacara dan berterusan melakukan penambahbaikan. Kita amat mengharapkan SMTM akan terus berjaya dan meningkatkan kecemerlangan.

INFO: 1 OGOS - CUTI 1 RAMADHAN (MELAKA)
2 OGOS- CUTI GANTI SEMPENA LARIAN 1M,1MURID, 1 SUKAN
4-9 OGOS- UJIAN BERKALA 2
PELAJAR ASRAMA DIBENARKAN BALIK KAMPUNG SETIAP HUJUNG
MINGGU RAMADHAN.

SELAMAT BERPUASA RAMADHAN AL MUBARAK

Friday, July 22, 2011

PENERIMA APC2010 SMTM

Putrajaya: Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang SMT dan SMV bagi tahun 2010 telah berlangsung petang tadi ( 22 July mulai jam 3.00 ptg.) di Auditorium,Kompleks D, Putrajaya. Sijil telah disampaikan oleh Dr Haji Khair b Mohamad Yusof, Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Sektor Dasar dan Pembangunan Pendidikan) Kementerian Pelajaran Malaysia. Seramai 629 penerima APC 2010 Zon Semenanjung. Selain dari sijil, setiap penerima APC juga mendapat hadiah prestasi sebanyak RM1,000.00.

Penerima APC 2010 SMTM

RAHAYU BT MOHAMED RASHID

PANITIA BIOLOGI

NURULHAIDA BT BASERI

PANITIA SEJARAH

MOHD KHUDAIRE B MOHD YUSOF

PANITIA PJK/SEJARAH

ZAHARATUL LAILI BT ABDL RAHIM

PANITIA PENGAJIAN KEJ. ELEKTRIK DAN ELEKTRONIK

SITI FADZILAH BT ABD RAHMAN

PEMBANTU MAKMAL


TAHNIAH ! SEMOGA MENJADI PEMANGKIN AGAR LEBIH CEMERLANG PADA MASA YANG AKAN DATANG.

Thursday, July 21, 2011

BUDAYA BELAJAR JAMIN KEJAYAAN


Pelajar sejati adalah insan yang mempunyai budaya belajar. Belajar tiada hadnya, selagi nyawa dikandung badan, selagi otak boleh berfikir, selagi ada kuderat. Budaya belajar memudahkan segala usaha, menyuluh jalan yang gelap, mencukupkan yang kurang, terjelma segala impian. Budaya belajar tidak mudah diperolehi jika hati tak cekal, jika semangat tak kental, jika usaha sambil lewa, umpama batuk di tangga, jika mudah putus asa, jika suka mengikut hati, jika suka mengikut nafsu, jika suka ikut rasa, jika tak pandai urus masa, jika tak hormat orang tua, tidak tahu pahala dan dosa.
Wahai anak didik SMTM, tahun 2011 sudah enam bulan berlalu, kamu wajib melakukan transformasi diri bagi menjamin kejayaan kamu. Hanya 2 tahun kamu berada di SMTM, janganlah dipersia-siakan. Ingatlah, kehadiran kamu di SMTM tidak di tawarkan, tetapi kamu yang mencari, justeru tanya pada diri kamu, kenapa kamu ke sini, adakah hanya untuk menghabiskan masa remaja kamu, adakah ke sini hanya untuk mengukir nama yang tidak bermakna atau tak tahu kenapa........
Berbagai program diwujudkan semata-mata untuk kamu membiasakan diri mengutamakan belajar, kami risau kini kerana belum nampak petanda-petanda kamu dah bijak mengurus diri. Hanya 4 bulan lagi untuk kamu diuji, pelajar Tingkatan 4 untuk berhadapan dengan peperiksaan akhir tahun, pelajar tingkatan 5 berhadapan dengan SPM. Janganlah lagi berdolak dalik dengan guru, laksanakan saja apa yang disuruh, setiap suruhan yang dilaksanakan itu akan meningkatkan nilai diri. Percayalah, jika budaya belajar sudah sebati pada diri kamu, kejayaan dan kecemerlangan akan menanti. Selamat belajar, didoakan kamu semua diberkati. Amin.......

Saturday, July 16, 2011

PROGRAM KECEMERLANGAN BERSEPADU


SMTM- Hari ini 16 Julai 2011 Sekolah Menengah Teknik Melaka telah mengadakan program kecemerlangan bersepadu anjuran bersama pihak sekolah dan PIBG. Kira-kira 200 ibu-bapa pelajar sekolah telah dapat hadir bersama. Program ini terdiri daripada Majlis Dialog di antara AJK PIBG-Pentadbir Sekolah dengan para ibu-bapa yang hadir. Selain itu ceramah serta pameran anti-merokok yang dikelolakan oleh Jabatan Kesihatan Melaka. Setelah kedua-dua program tersebut selesai, ibu-bapa diberi peluang bertemu dengan guru-guru tingkatan bagi membincangkan prestasi akademik anak masing-masing. Program telah selamat dijayakan pada jam 2.30 petang.
Ceramah anti-merokok yang disampaikan oleh Pegawai Pendidikan Kesihatan telah memberi penekanan tentang bahayanya asap rokok kepada mereka yang tidak merokok dan kesan yang burok kepada kesihatan perokok sehingga boleh membawa maut. Tambahnya lagi, pihak Jabatan Kesihatan kan mengenakan kompaun kepada mana-mana individu yang tertangkap kerana merokok dengan kadar RM50.00 kepada pelajar dan RM250 kepada warga kerja sekolah termasuk pelawat kerana kawasan sekolah adalah zon larangan merokok.
Majlis dialog telah memberi peluang kepada para ibu-bapa menyampaikan cadangan-cadangan bagi meningkatkan peningkatan akademik termasuk isu-isu berkaitan dengan keselamatan pelajar dan komunikasi, pihak sekolah menjadikan segala teguran dan pandangan sebagai positif dan sedia untuk membuat penambahbaikan. Derma kilat sebagai tanda pelancaran untuk mengumpul dana bagi menaik tarafkan perpustakaan sekolah telah dilancarkan dan mendapat sambutan yang baik.
Pihak sekolah mengalu-alukan kerjasama dan sumbangan daripada ibu-bapa bagi membantu sekolah samada dalam bentuk sumbangan kepakaran atau material. Terima kasih kepada semua yang terlibat terutamanya PIBG yang amat komited untuk membantu sekolah.

SMTM KE ARAH SBT

Pengurusan SMTM memberi lebih fokus kepada program-program peningkatan akademik bagi memastikan prestasi akademik meningkat dan seterusnya dapat dilihat lonjakan kejayaan nya dalam peperiksaan SPM yang akan datang. Justeru, pelajar perlu mempunyai minat untuk belajar dan mendisiplinkan diri dalam setiap program dan aktiviti yang dilaksanakan. Pengurusan masa semasa berada di asrama dan ketika bercuti di rumah perlu diatur dengan sebaik-baiknya. Ketika pelajar di asrama pengurusan masa dipantau oleh para waden dan ketika pelajar di rumah sewajarnya para penjaga memberi perhatian. Untuk memupuk budaya belajar memerlukan usaha yang gigih dan pengorbanan semua pihak. Kita percaya dan amat yakin sekiranya budaya ini telah dapat diterap kemudian diiringi dengan doa, kejayaan tetap akan menjelma pada pelajar-pelajar. Pihak sekolah merancang berbagai kaedah dan melaksanakan program-program ke arah membudayakan belajar di kalangan pelajar-pelajar SMTM. Dalam konteks ini, pelajar dikelompokan mengikut aras prestasi akademik mereka agar objektif dalam setiap program tercapai. Beberapa program peningkatan akademik telah dirancang dan mula dilaksanakan. Bermulanya sesi persekolahan tahun ini program tuisyen malam telah dilaksanakan dan akan berakhir pada bulan Oktober, program ini mendapat kerjasama dan sokongan kuat daripada PIBG. Bagi program mengikut kelompok SMTM melaksanakan program Halus (harapan lulus) bagi mereka yang belum pernah lulus dalam mana-mana mata pelajaran, program Berlian dan GPMS adalah untuk kelompok Elit bagi pencapaian straight A's. Program Guru Muda Al-Biruni bagi mencetus rasa tanggungjawab membantu rakan sebaya. Program Mentor-Mantee untuk membimbing dan mendekati pelajar agar sentiasa peka dengan prestasi akademik. Tahun ini juga pihak pengurusan mengadakan program kerja rumah semasa cuti panjang bagi mengisi masa cuti, program ini perlu pemantauan penjaga di rumah. Pendek kata pelajar sentiasa dibekalkan tugas bagi memastikan mereka tidak lekang dari belajar. Sekiranya semua program ini dihayati dan dilihat secara positif oleh guru-guru, para pelajar dan penjaga, insyaalah kejayaan menunggu kita. SMTM ke arah Sekolah Berprestasi Tinggi.

Saturday, July 9, 2011

SEMINAR OUTREACH BIL. 1/2011

Untuk julung kalinya BPTV telah mengadakan outreach secara besar-besaran bagi Zon Selatan dari 7 hingga 9 Julai 2011. Program outreach kali ini diadakan di Batu Pahat dimana tuan rumahnya ialah Zon Johor dan JK Pengelolanya terdiri daripada semua Pengetua SMV dan SMT dalam negeri Johor. Program outreach terditi dari 2 bahagian utama iaitu seminar dan pameran. Yang lebih menarik ialah peserta-peserta seminar terdiri daripada wakil-wakil JPN, PPD, Pengetua dan Kaunselor SMK dari 5 buah negeri iaitu Johor,NS, Melaka, Selangor/wilayah dan Pahang. Seminar telah diadakan di Hotel Katerina B.Pahat, aktiviti-aktiviti adalah pembentangan kertas kerja oleh TP Pengoperasi Sekolah BPTV dan KPP Sektor Pengurusan Murid. Seminar juga dilengkapkan dengan sesi perbengkelan dan forum. Ahli panel forum adalah terdiri daripada bekas pelajar SMV yang berjaya sebagai ahli akademik, bekas pelajar SMT yang berjaya sebagai Jururunding dan bekas pelajar kemahiran (MLVK) yang berjaya mengeluarkan alat bantu mengajar untuk institusi latihan dalam negara. Dalam sesi pembentangan hasil perbengkelan dapat dilihat para pembentang begitu komited bagi membantu BPTV dalam meningkatkan enrolmen pelajar di SMV dan SMT pada tahun 2012.
Pada petang 8 Julai (Jumaat), Majlis Perasmian Outreach telah disempurnakan oleh YB Tim Menteri Pelajaran,Dr Fuad Zarkashi bertempat di Central One Batu Pahat. Di situ juga diadakan pameran untuk orang ramai. Terdapat 14 boost pameran daripada 14 buah SMV dan SMT Zon Selatan. Zon Melaka-NS telah diwakili oleh SMT Dato' Lela Maharaja, Rembau.
Pengarah BPTV telah menyampaikan Ucapan dan Prasmian Penutup pada jam 11.00 pagi , 9 Julai. Tahniah BPTV dan Zon Johor atas kejayaan mengelolakan Program Outreach kali pertama. Program outreach seterusnya akan diadakan di Zon Utara pada 22-24 Julai , Kedah sebagai tuan rumah, manakala Zon Sabah dan Zon Sarawak pada bulan Oktober akan datang.

Sunday, July 3, 2011

LARIAN 1M 1S 1MALAYSIA


Tanggal 2 Julai 2011 mencipta sejarah KPM di mana setiap sekolah di Malaysia samada di sekolah rendah maupun di sekolah menengah telah menganjurkan larian serentak pada awal pagi tersebut. Antara objektif adalah untuk memberitahu kepada orang ramai bahawa KPM amat serios dalam melaksanakan dasar 1 murid 1 sukan. KPM mahukan setiap pelajar sihat fizikal kerana ia pemangkin kepada kecerdasan fikiran. Di SMTM lebih dari 600 warga sekolah terdiri daripada warga pelajar, warga kerja dan termasuk pekerja kontrak pembersihan telah melibatkan diri dalam program ini. Di peringkat kebangsaan telah mencipta Malaysia Book of Records (MBR) kerana berjaya melaksanakan larian serentak teramai iaitu melebehi 4.1 juta. Di SMTM, program larian 1M 1S 1Malaysia sejauh 1.8 km telah dilaksanakan dengan jayanya. Saya mengucapkan tahniah dan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat, khususnya kepada Unit Kokurikulum SMTM yang telah merancang dengan rapi sehingga program telah dapat dilaksanakan dengan jayanya, terima kasih juga kepada pihak PIBG yang telah memberi sumbangan jamuan ringan.